Nasib batu Batu Belah Batu Bertangkup

Khabarnya, gua Batu Belah Batu Bertangkup terletak di Kampung Batu Belah, Kapar, Klang. Lebih tepat lagi di sebidang tanah yang kini telah dijadikan kompleks Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah.Menurut sisipan Jurnal, akhbar kontemporari Malaysia, Kosmo, bertarikh 13 November 2011, halaman 46. Wartawan Kosmo iaitu Megat Lutfi Megat Rahim telah menebual salah seorang guru sekolah agama berkenaan iaitu, Cikgu Mohd. Faeez Mohd Yassin, 32, tentang nasib yang berlaku pada batu yang dimaksudkan itu. Menurut guru tersebut, tiada lagi bongkah batu besar yang boleh ditemui di kawasan sekolah itu melainkan saki-baki batu yang bersaiz kecil yang kini mejadi milik persendirian, ini kerana bongkah batu besar itu telah diletupkan (dibomkan) bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan sekolah baharu.

Dalam temubual yang sama, wartawan Kosmo itu juga telah mendapatkan maklumat lebih mendalam tentang Batu Belah Batu Bertangkup dari Ketua Kampung Batu Belah, iaitu Encik Salim Hassan, 64 tahun. Menurutnya, memang wujud bongkah batu yang besar di kawasan sekolah tersebut, namun batu itu terpaksa diletupkan kerana memberi laluan kepada pembinaan sekolah, lagipun batu itu sukar untuk dialihkan kerana saiznya yang begitu besar dan berat.

Pada awal tahun 1950-an, berdekatan batu besar itu juga terdapat sebuah kolam air semula jadi dengan struktur batu terbelah setinggi 2 meter pada lebar dan panjang bersaiz sama. Kolam air itu sering dijadikan sumber mendapat bekalan air seharian dan menjadi tempat bermandi-manda kanak-kanak kampung. Namun menurut Salim, tiada sebarang kejadian aneh berlaku disitu sepanjang hematnya bermandi-manda disitu. Cuma yang agak menghairankan adalah bentuk batu itu seakan-akan mulut manusia atau hidung manusia. Serta dalam jarak 500 meter radius dari bongkah batu tidak terdapatnya sebarang tumbuh-tumbuhan, serangga mahupun haiwan sedangkan kelilingnya dipenuhi hutan hujan yang tebal.

Batu Belah tersebut menurut Salim, telah mengalami 3 kali sesi letupan besar, pertama pada zaman British, diletupkan kerana terdapat aktiviti pemujaan batu beserta colok ditemui disekitarnya, kedua, ketika era penjajahan Jepun, bagi memberi laluan untuk pembinaan jalanraya, dan terakhir pada tahun 2006, dimana diletupkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baharu sekolah agama tersebut.

Replika Batu Belah yang dibina oleh MPK di Taman Sentosa dekat Batu Belah, Klang.

Walaupun sebanyak 3 kali letupan dibuat, sisanya sehingga sekarang masih wujud tetapi dalam saiz-saiz yang agak kecil dan dialihkan ke kawasan lapang berhampiran sekolah. Pihak kontraktor sekolah pernah menawarkan untuk membina sebuah monumen sejarah berkenaan lokasi batu belah tersebut dan sejarahnya menggunakan batuan asal yang telah diletupkan, namun projek RM10,000 itu tidak dijalankan kerana mendapat bantahan kerana kos yang tinggi dan mengelakkan pemujaan.

Sebagai usaha lanjutan bagi memperingati nilai sejarah kawasan terbabit, terdapat 2 buah taman perumahan di pekan Kapar diberi nama sebagai Taman Bunga Melur dan Taman Seri Pekan sempena nama Si Bunga Melur dan Si Pekan. Lokasi kisah Batu Belah itu juga pernah dijadikan tempat bersejarah di bandar Klang diantara tahun 1980 hingga 1990.

Pihak Majlis Perbandaran Klang pada akhir 2000an telah membina sebuah replika di pekan Taman Sentosa bersebelahan Sekolah Kebangsaan Batu Belah bagi memperingati lagenda 'Batu Belah' yang terkenal itu tidak jauh (350m) dari lokasi asal Batu Belah.